Salam.Mari kita menghayati kalam taujihat daripada Assyahid Syeikh Ahmad Yassin.Ucapan ini diambil ketika cubaan membunuh beliau gagal pada 6September 2003.Mari kita naikkan kembali semangat cinta kita kepada islam.Mari kita semarakkan kembali sunnah rasulullah.Mereka yang masih belajar,mari kita tajdid kembali niat belajar."Belajar Untuk Bangunkan Islam".Berjihad semampunya untuk Islam.Mendoakan kejayaan Islam.Hayatilah rintihan ini dengan hati kecilmu.
RINTIHAN AS-SYAHID SHEIKH AHMAD YASSIN...
"Tidakkah kalian lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai
ke tahap mana keadaan ini?
Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu
memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh).
Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat
dengan suaraku (yang perlahan ini).
Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat untuk memenuhi
hajatku kecuali jika mereka menggerakkan (kerusi roda) ku. Aku yang sudah
beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku, yang diserang pelbagai
penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.
Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke
atasku turut menimpa bangsa Arab hingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah
kalian semua begitu wahai Arab, kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian
semua telah mati binasa.
Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang
berlaku terhadap kami sehingga tiada satu kaum pun bangkit menyatakan kemarahan
kerana Allah.
Tiada satu kaum pun (di kalangan kalian) yang bangkit
menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke
atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia yang dianiaya dan
dizalimi kepada pembunuh dan penjenayah serta pengganas. Tidak adakah yang mahu
bangkit menentang musuh-musuh yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan
menghukum kami.
Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina
sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah negara-negara umat ini
membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami
dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan bebanan
kami.
Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya,
parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah
dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan,
"Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang
dipatah-patahkan, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan
bantulah hamba-hamba-Mu yang beriman!"
Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami?
Seketika nanti kalian akan mendengar mengenai peperangan besar ke atas kami dan
ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis di dahi kami bahawa kami
akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati membelakang (dalam
keadaan melarikan lari) dan akan mati bersama-sama kami, anak-anak kami,
wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.
Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat
umat yang diam dalam kebodohan!!! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah
atau mengangkat bendera putih kerana kami telah belajar bahawa kami tetap akan
mati walaupun kami berbuat demikian (menyerah). Biarkan kami mati dalam
kemuliaan sebagai mujahid.
Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin.
Tugas membela kami terpikul dibahu kalian. Kalian juga sepatutnya menyaksikan
kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum
sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.
Dan kami berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh
yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami
wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini."
"Ya Allah, kami mengadu kepada-Mu. kami mengadu
kepada-Mu. kami mengadu kepada-Mu. kami mengadu kepadaMu lemahnya kami dan
kurangnya helah kami. Demikianlah kami di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan
kepada orang-orang yang lemah. Dan Engkaulah Tuhan kami. Kepada siapa engkau
tinggalkan kami. Adakah kepada orang yang jauh yang akan menyerbu kami. Ataukah
kepada musuh yang berkuasa ke atas kami?
Ya Allah, kami mengadu kepada-Mu darah-darah yang tertumpah,
maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa, kanak-kanak yang diyatimkan,
wanita-wanita yang dijandakan, ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang
diruntuhkan, tanaman-tanaman yang dirosakkan.
Ya Allah, kami mengadu kepadaMu berseleraknya kesatuan
(umat) kami, berpecahnya perpaduan kami, berbagai-bagainya jalan kami,
terkebelakangnya kami.
Kami mengadu kepadaMu betapa lemahnya kaum kami, betapa
tidak bermayanya umat di sekeliling kami dan betapa berjayanya musuh-musuh
kami.